IPTS diseru wujudkan Sekretariat Rukun Negara
SHAH ALAM – Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk turut bersama menubuhkan Sekretariat Rukun Negara (SRN) sebagai platform integrasi nasional di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha mempromosi dan menerapkan penghayatan Rukun Negara dalam peringkat IPT.
“Sehingga kini, terdapat sebanyak 189 buah SRN yang berdaftar di kampus-kampus IPT di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 30 buah SRN berdaftar di institut pengajian tinggi awam (IPTA), manakala 36 buah SRN di IPTS, 28 di politeknik, 17 di kolej-kolej matrikulasi, 51 di kolej komuniti dan 27 di kampus-kampus institut pendidikan guru (IPG).
“Saya mengambil kesempatan ini menyeru agar semua IPTS dalam negara untuk turut bersama dalam menubuhkan SRN sebagai platform integrasi nasional di peringkat IPT masing-masing,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Terdahulu, Eksplorasi Rukun Negara yang diadakan secara berperingkat bertujuan meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia.
Kata Aaron, pihaknya telah memberikan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada semua SRN bagi melaksanakan Eksplorasi Rukun Negara di peringkat IPT tahun ini.
“Semoga agenda pengukuhan perpaduan negara dalam kalangan mahasiswa dapat dijayakan melalui inisiatif ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut berjaya melaksanakan inisiatif dan program penghayatan Rukun Negara di peringkat IPT seperti Debat Perpaduan, Chit Chat Belia, Jalinan Integrasi Nasional, Raja Kita Payung Kita dan sebagainya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








