BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

12 tokoh dilantik sertai Majlis Penasihat Perpaduan Negara 2025-2027

KUALA LUMPUR – Seramai 12 tokoh pelbagai bidang termasuk akademik, masyarakat sivil, seni budaya, korporat serta wakil Sabah dan Sarawak dilantik menganggotai Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) bagi penggal 2025-2027.

Pelantikan mereka dimaklumkan dalam mesyuarat MPPN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di sini hari ini.

MPPN ditubuhkan untuk menasihati Kerajaan dalam hal ehwal perpaduan, membincangkan isu-isu berkaitan penyatuan nasional serta mengemukakan cadangan penyelesaian terbaik terhadap cabaran perpaduan negara.

Senarai 12 ahli yang dilantik menyertai MPPN bagi sesi 2025-2027.

Senarai 12 ahli baharu tersebut ialah:

1. Datuk Dr Johan Arriffin Abd Samad – Pengerusi Lembaga Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR)

2. Datuk Dr Ramzah Dambul – Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (IDS) Sabah

3. Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi – Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM)

4. Prof Datu Dr Neilson Ilan Mersat – Pengerusi Kebudayaan, Dayak Cultural Foundation

5. Ainon Kuntom – Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Women’s Institute of Management (WIM)

6. Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi – Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Women’s Institute of Management (WIM)

7. Prof Dr Ruzita Mohd Amin – Profesor Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

8. Dr Sharifah Munirah Syed Hussein Alatas – Timbalan Pengarah & Felo Penyelidik Kanan, Allianz Centre for Governance (ACG), Universiti Malaya (UM)

9. Prof Madya Dr Charanjit Kaur Darshan Singh – Pensyarah Kanan, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)

10. Eddin Khoo – Pengasas PUSAKA

11. Siti Kamariah Ahmad Subki – Pengarah Urusan, Yayasan Hasanah

12. Danesh Basil – Naib Presiden, Majlis Belia Malaysia (MBM)

Menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN), antara tahun 2020 hingga 2025, MPPN telah bersidang sebanyak lapan kali dengan beberapa syor berjaya diterjemahkan menjadi dasar dan pelan kerajaan.

“Antaranya ialah Dasar Perpaduan Negara, Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, pelaksanaan lafaz Ikrar Rukun Negara dalam majlis rasmi kerajaan dan sidang Parlimen, Pelan Pendidikan Awal Tabika Perpaduan 2021-2030 serta Modul Penghayatan Rukun Negara.

“Selain itu, ia juga termasuk program Gerak Integrasi Perpaduan MADANI (GRIP), pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara serta pemerkasaan mediator komuniti dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Aaron turut memaklumkan bahawa KPN diberikan mandat menerajui Tonggak D1: Pembentukan Negara Bangsa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

“Penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara.

“KPN juga sedang merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa yang akan diikuti dengan penganjuran Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada tahun 2026,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button