Polis minta bantuan orang ramai kesan Nor Afiza
IPOH – Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang di Taiping sejak 16 Jun lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Nor Afiza Zainuddin, 41, pada 11.22 pagi, 18 Jun.
“Nor Afiza kali terakhir dilihat keluar dari kediaman ibunya di Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun dengan memandu kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.
“Hasil siasatan awal mendapati pada hari itu, wanita berkenaan telah keluar rumah dengan alasan menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau kemudiannya memaklumkan, pada 21 Jun lalu, polis menemukan sebuah Perodua Axia itu di tempat rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar dekat Padang Rengas dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dalam keadaan baik berserta kunci kereta.
Beberapa barangan milik Nor Afiza turut ditemukan dalam kereta itu seperti fail sijil, beg telekung dan kasut.
Mohd Ariffridzuan berkata Nor Afiza memiliki dua anak, namun kedua-duanya tinggal bersama bekas suaminya.
Wanita itu katanya 155 sentimeter tinggi dengan berat 57 kilogram, selain warna kulit sawo matang dan memakai cermin mata.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan Nor Afiza diminta tampil ke balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sanjay Shanmugam melalui talian 012-5039820 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping 05-8291222 untuk membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








