Cuaca buruk landa wilayah Catalonia
Dua hilang dihanyutkan air; rangkaian pengangkutan turut kucar-kacir
BARCELONA – Dua dilaporkan hilang selepas hujan lebat dan banjir melanda wilayah Catalonia di timur laut Sepanyol, semalam.
Agensi berita Jerman, DW yang memetik kenyataan pihak bomba Sepanyol berkata, operasi mencari dan menyelamat sudah dilancarkan bagi mencari mangsa di sepanjang tebing dan muara Sungai Foix di bandar Cubelles, kira-kira 50 kilometer dari Barcelona.
Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu di 10 wilayah utara dan timur susulan amaran cuaca buruk.
“Kami sedang memantau rapi situasi di beberapa komuniti yang menerima amaran hujan lebat dan ribut,” kata beliau dalam hantaran di akaun X miliknya.
Sanchez turut memaklumkan bahawa anggota daripada Unit Kecemasan Tentera (UME) telah dikerahkan ke beberapa kawasan perbandaran di Aragon.
Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan cuaca kebangsaan, Aemet, melaporkan bahawa sebanyak 10 sentimeter hujan turun dalam tempoh beberapa jam di sekitar Barcelona.
Catalonia dan wilayah jiran, Aragon, berada dalam amaran merah berisiko tinggi berikutan ramalan hujan sehingga 60 liter per meter persegi dalam masa sejam, menurut Aemet.
Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat kereta api Sepanyol, Renfe, telah menggantung sementara semua perkhidmatan di seluruh Catalonia.
Di Barcelona, beberapa jalan raya ditutup, dan sebuah hospital terpaksa menolak kemasukan pesakit selepas mengalami banjir.
Sebuah pesawat yang berlepas dari Barcelona ke Amerika Syarikat pula terpaksa berpatah balik selepas bahagian hidung pesawat rosak akibat ribut hujan batu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








