MOF sekat stesen minyak di Pulau Pinang susulan transaksi mencurigakan
KUALA LUMPUR – Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang dikenakan sekatan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani selepas transaksi mencurigakan dikesan, dipercayai membabitkan penyalahgunaan subsidi kerajaan.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, tindakan itu menyusul beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.
“Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan. Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua pengadu telah membuat laporan polis sebelum pihaknya menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan.
Selain menyekat penjualan bahan api bersubsidi, kementerian turut menahan pembayaran subsidi kepada stesen minyak terbabit dengan jumlah awal melebihi RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
Dalam perkembangan sama, sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka disekat sementara daripada menggunakan kemudahan subsidi Budi Madani bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan.
“MOF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan, dan kini sedang meneliti rekod transaksi mereka.
“Sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka,” tambahnya.
MOF juga menjelaskan, Budi Madani diperkenalkan bagi memastikan subsidi produk petroleum disalurkan secara bersasar kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.
“Subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi,” menurut kenyataan itu.
Pihaknya turut menegaskan bahawa sebarang penyelewengan akan menjejaskan matlamat penyasaran subsidi, lebih-lebih lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga global dan memberi tekanan kepada harga bahan api.
Sehubungan itu, kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan Budi Madani.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







