BERITA SEMASAPMX

8.1 juta penerima manfaat program SARA, peruntukan cecah RM8 bilion – MOF

PUTRAJAYA – Seramai 8.1 juta penerima bakal menerima manfaat Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan pada tahun 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM8 bilion, apabila penyaluran bantuan itu bermula seawal 9 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Amanat Tahun 2026, di sini hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari kepada lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, manakala pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang akan dibuat mulai 16 Januari 2026.

“Penerima SARA Bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 sebulan mengikut kategori kelulusan dengan keseluruhan program melibatkan 8.1 juta penerima dan peruntukan RM8 bilion bagi tahun 2026,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.

Peruntukan dan jumlah penerima itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2025 yang melibatkan 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion.

MOF memaklumkan prestasi perbelanjaan SARA Bulanan pada tahun lalu hampir mencecah 100 peratus, termasuk di kawasan luar bandar sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan bantuan tersebut dalam membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.

Logo Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – Foto Hiasan

Dalam pada itu, kementerian berkata sasaran kedai runcit kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir 2025 bagi melengkapkan rangkaian pasar raya sedia ada.

“Langkah ini bertujuan memastikan akses kepada barangan keperluan asas dapat diperluaskan, khususnya kepada penerima di kawasan luar bandar dan pedalaman,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas pada 9 Februari 2026, bagi membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Inisiatif SARA untuk Semua yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta rakyat Malaysia dewasa.

Menurut MOF, pelaksanaan SARA untuk Semua pada 2025 mencatatkan kadar penggunaan tinggi apabila 21.2 juta rakyat atau 96 peratus penerima membelanjakan kredit berkenaan, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

“Baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan dianggarkan sekitar RM150 juta, akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan,” katanya.

Antara inisiatif dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan berkeperluan khas, pembelian peranti perubatan serta pelaksanaan inisiatif Dapur SISWA.

Dalam perkembangan berkaitan, penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun 2026 akan bermula pada 20 Januari ini, melibatkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button