RENCANAPENDAPAT

Kerangka Malaysia MADANI bina minda, sahsiah rakyat supaya selari dengan kemajuan negara

KONSEP Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar retorik seorang ahli politik.

Jika diperhalusi, konsep ini mahukan minda dan sahsiah rakyat turut maju selari dengan kemajuan infrastruktur dan ekonomi dalam mengukuhkan kedudukan negara.

Kemajuan sesebuah negara tidak mempunyai sebarang maksud jika rakyatnya masih dibelenggu penjara minda, menyebabkan mereka terperangkap dalam tatalaku tanpa etika.

Ilmuwan Islam, al-Farabi, menekankan ilmu madani sebagai ‘ilmu ketamadunan’, yang menyentuh aspek pembangunan tamadun dari segi asas atau prinsipnya.

Dalam ilmu kenegaraan pula, rakyat merupakan elemen asas, diikuti masyarakat, dan pemimpin, dan kesaling-hubungan yang baik di antara elemen tersebut dapat mewujudkan negara yang kuat dan masyhur.

Perlu diingatkan, bahawa apabila membicarakan tentang sesebuah negara, perkara ‘tamadun’ tidak akan dapat dipisahkan, kerana ia merupakan cerminan ketinggian pencapaian sesebuah negara tersebut.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, fokusnya adalah untuk melahir dan memampan nilai individu masyarakat Malaysia bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Pengkritik Malaysia MADANI memainkan isu konsep ini ‘hanya omong kosong’, atau ‘sesuai di atas kertas, tidak praktikal’, namun persoalan ini sudah dijawab oleh al-Farabi.

Dalam kitabnya Tahsil al-Sa’adah (Pencapaian Kebahagiaan), beliau menegaskan masyarakat yang dibentuk atas dasar kerjasama untuk mencapai kebahagiaan sejati bagi semua para anggotanya layak digelar ‘masyarakat madani’.

Jelas al-Farabi, dalam masyarakat madani’, anggotanya bekerjasama dengan anggota lain bukan untuk kepentingan peribadi tetapi juga untuk kepentingan bersama.

Kebersamaan ini melangkaui sempadan agama dan kaum, kerana dalam aspek kenegaraan, isu warna kulit, agama, fahaman budaya bukanlah satu perbezaan tetapi keunikan yang membentuk fabrik masyarakat.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri menggariskan satu lonjakan minda perlu dilaksanakan, bahawa tanpa kebersamaan kita tidak akan dapat bergerak sebagai sebuah negara maju.

Dan bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan akan memberi tumpuan penuh kepada tiga keutamaan iaitu ‘Membasmi Kemiskinan’, ‘Penstrukturan semula ekonomi’ dan ‘Memulih dan menjana ekonomi’.

Ketiga-tiga aspek di atas mempunyai satu matlamat iaitu mensejahterakan rakyat, dan ia hanya akan dapat dicapai sekiranya elemen asas di dalam negara, para rakyatnya, dapat menetapkan minda dan perlakuan mereka dalam merealisasikan dasar yang cuba dibawa oleh kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button