BERITA SEMASA

Transaksi SARA cecah RM110 juta dalam dua hari

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyaluran SARA bulanan terus merekodkan sambutan menggalakkan apabila mencatat transaksi berjumlah RM110 juta dalam tempoh dua hari.

Kementerian Kewangan berkata, sehingga jam 9.30 malam semalam, lebih 900,000 penerima telah melakukan perbelanjaan mencecah RM60 juta di seluruh negara.

“Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima telah berbelanja dengan jumlah nilai jualan mencecah RM110 juta dalam dua hari,” katanya dalam keyataan hari ini.

Menurut kementerian, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan oleh MyKasih berikutan ledakan transaksi hari pertama membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses semalam.

Bagaimanapun, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan transaksi di beberapa lokasi terutama pasar raya besar di kawasan bandar pada waktu puncak antara jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang.

“Bagi menguruskan situasi itu, petugas MyKasih ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga,” jelas kenyataan itu lagi.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya merancang pembelian pada waktu bukan puncak seperti pada waktu pagi hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan serta melancarkan urusan pembelian.

Kementerian menegaskan, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button