Belanjawan 2026: SARA RM100 untuk 22 juta rakyat, legakan beban menjelang Ramadan dan Tahun Baru Cina
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat apabila mengumumkan pemberian semula Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, menjelang Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina, tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan pada pertengahan Februari 2026 sebagai langkah berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Walaupun angka ekonomi menunjukkan perkembangan positif, kerajaan sedar beban hidup rakyat masih tinggi.
“Disebabkan penjimatan hasil penyasaran subsidi diesel dan RON95, kita dapat meringankan kehidupan rakyat melalui ikhtiar seperti SARA Untuk Semua yang diluncurkan Ogos lalu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, keseluruhan program SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 melibatkan peruntukan RM15 bilion hasil penjimatan subsidi yang selama ini banyak dinikmati warga asing dan syarikat besar.
“Subsidi sepatutnya hak rakyat Malaysia, bukan pihak luar. Setiap penjimatan digunakan semula untuk kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan STR dan SARA kepada kaum Melayu meningkat daripada RM4.5 bilion pada 2022 kepada RM7.1 bilion pada 2025, manakala Bumiputera Sabah dan Sarawak meningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM1.9 bilion serta kaum India daripada RM600 juta kepada RM1 bilion.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diteruskan kepada lebih 560,000 penerima dengan peruntukan RM3.1 bilion, berbanding RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion untuk mengekang kos sara hidup, termasuk RM600 juta bagi memperluas program Payung Rahmah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment