BERITA SEMASAPMX

Malaysia Madani, iltizam kembali menjadi negara berprestasi tinggi

PUTRAJAYA – Iltizam kerajaan melalui pelaksanaan slogan baharu ‘Malaysia Madani’ mampu menaikkan semula negara sebagai sebuah negara berprestasi tinggi dan disegani di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui konsep yang menekankan amalan tatakelola kerajaan yang berkesan itu, beliau berharap mampu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur.

“Negara ini mesti diselamatkan, negara ini perlu diangkat supaya nama Malaysia harum semula daripada tercemar kerana salah laku dan rasuah.

“Dalam sistem yang tidak adil, jika tidak dikawal dengan kekuatan politik akan menyebabkan rompakan berlaku terus menerus.

“Kita tidak mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang penuh skandal, tapi negara madani yang mampu mengangkat kemakmuran rakyat, adil dan menolak segala bentuk kezaliman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu Perdana Menteri meletakkan keyakinan yang tingi kepada pemimpin, penjawat awam dan sektor untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selesa didiami.

“Negara ini pernah menunjukkan prestasi yang baik, kita harap negara ini akan dibangunkan dengan kekuatan yang dibina mulai sekarang.

“Saya mohon kerjasama untuk kita menetapkan satu asas dan budaya baharu dalam memartabatkan nilai hidup yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengenai majlis itu berkata, Amanat Perdana Menteri bertema Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Katanya, agenda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.

“Madani disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar,” katanya.

Slogan Malaysia Madani akan menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button