iFUTURE 2025: KPT perkukuh kepimpinan belia berwawasan global
DI tengah-tengah era globalisasi dan kemajuan teknologi yang berkembang pesat, generasi muda hari ini memegang kunci masa depan negara dan dunia.
Mereka bukan sekadar penerima ilmu, tetapi juga penggerak perubahan, pembina jaringan global dan bakal pemimpin yang membawa inspirasi kepada masyarakat.

Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2025 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober lalu menjadi bukti komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan pemimpin muda berwawasan global.
Berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), iFUTURE 2025 menjadi saksi kepada semangat luar biasa belia dari seluruh dunia.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menampilkan lebih 1000 peserta dari 60 buah negara, termasuk pelajar universiti tempatan dan antarabangsa.

Bertemakan “Empowering Young Leaders for a Digital Future”, iFUTURE 2025 memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan pelajar dalam era digital dengan menekankan nilai integriti, kemahiran kritikal dan jaringan strategik.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program seperti iFUTURE bukan sekadar platform pembelajaran, tetapi juga medan untuk memupuk kepimpinan berteraskan moral, empati dan visi global dalam diri generasi muda Malaysia dan pelajar antarabangsa.

“iFUTURE boleh menjadi ruang untuk mengenal diri, membina potensi dan memperluas perspektif dunia yang membolehkan pelajar dari latar belakang pelbagai agama, bangsa dan budaya hidup dan belajar bersama.
“Ini adalah pengalaman yang harus diraikan. Kita belajar dari satu sama lain dan membina jaringan yang mampu menghubungkan negara-negara dan benua,” kata beliau.
Zambry juga berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dahulu dan melihat ramai bekas pelajar antarabangsa Malaysia memegang jawatan penting, termasuk seorang yang kini menjadi Perdana Menteri Somalia.

Menurut beliau, ia membuktikan nilai kepimpinan yang dilahirkan dari pendidikan dan pengalaman bersama di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan bukan sahaja dalam politik, tetapi lebih kepada tanggungjawab terhadap masyarakat dan pelbagai bidang.
“Kepimpinan ialah tentang moral, empati, dan keberanian untuk membuat perubahan. Anda semua adalah calon pemimpin yang akan berdiri dengan nilai-nilai ini di pentas global,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ menekankan bahawa kejayaan pendidikan tinggi tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keupayaan universiti melahirkan pelajar yang berfikir secara bebas, kreatif dan kritikal serta menegakkan keadilan.

“Tanda kejayaan sistem pendidikan ialah kesediaan membuka ruang berbicara secara terbuka, kreatif dan kritis.
“Keamanan dan kestabilan rantau ASEAN membolehkan kita menumpukan kepada agenda ilmu dan kemanusiaan. Jika negara berhadapan konflik, bajet pastinya perlu dialih kepada pertahanan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan membangunkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berpaksikan nilai kemanusiaan, budaya, agama dan etika supaya tidak mencipta jurang digital baharu antara bandar dan luar bandar.

Beliau turut menekankan peranan belia sebagai agen perubahan dalam dunia diplomasi antarabangsa dan pembangunan negara.
Program tiga hari itu menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi, termasuk forum peringkat menteri, sesi dialog bersama Perdana Menteri, forum kepimpinan pelajar serta pembentangan Youth Declaration yang merumuskan aspirasi dan resolusi belia sepanjang program.
Seorang peserta, Mohd Akmal Hakim Mazli, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer Kejuruteraan Perisian dari Universiti Malaya (UM) menyifatkan iFUTURE 2025 sebagai satu pengalaman yang membuka mata pelajar terhadap kepimpinan dan peluang pembangunan diri.

“Program ini amat bagus, terutamanya untuk mahasiswa tahun pertama. Banyak manfaat diperoleh, termasuk pendedahan kepada diskusi dan peluang bertanya soalan terus kepada Perdana Menteri.
“Harapan saya, penganjuran akan datang dapat memberikan lebih banyak ruang untuk pertanyaan khususnya dari mahasiswa,” kata beliau.
Dengan kejayaan penganjuran iFUTURE 2025, KPT menegaskan peranan utamanya dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mampu menjadi pemimpin berintegriti, berpandangan jauh dan berdaya tahan menghadapi cabaran global, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








