BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

SST: Buah import terpilih, khidmat kecantikan dikecualikan

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan tiga pindaan terhadap pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

MOF dalam satu kenyataan berkata, pindaan itu dibuat bagi mengurangkan beban rakyat serta melindungi perniagaan kecil daripada kesan peluasan cukai berkenaan.

Antara pindaan diumumkan termasuk pengecualian cukai jualan ke atas buah-buahan import terpilih.

“Selepas meneliti maklum balas yang diterima berkenaan cukai jualan ke atas buah import, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan, telah bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan.

“MOF ingin menggariskan bahawa kerajaan MADANI tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dua lagi pindaan diumumkan adalah kenaikan ambang jualan tahunan bagi pendaftaran cukai perkhidmatan, serta pembatalan cadangan peluasan cukai perkhidmatan kepada sektor kecantikan.

Jelas MOF, kesemua langkah itu diambil hasil maklum balas rakyat dan pemain industri selepas pengumuman asal SST yang dibuat pada 9 Jun lalu.

“Satu sesi libat urus turut diadakan bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan bagi memahami sentimen akar umbi.

“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pelaksanaan SST ini bersifat progresif, seimbang dan mengambil kira kebajikan rakyat serta keupayaan perniagaan kecil,” katanya.

MOF turut menasihatkan semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST dan tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengelirukan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button