KPT zahir sokongan penuh pendirian Kerajaan Malaysia dalam isu rakyat Palestin
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan penghargaan dan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Malaysia dalam mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berdiri teguh memperjuangkan keadilan kemanusiaan sejagat serta menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat dan mereka yang tidak berdosa.
Dalam kenyataan sama, KPT turut melahirkan rasa syukur atas keselamatan 23 rakyat Malaysia yang ditahan rejim zionis ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, baru-baru ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan, kebijaksanaan diplomasi serta jaringan antarabangsa beliau yang berkesan dalam memastikan kesemua sukarelawan negara dibebaskan dan dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
“Usaha ini mencerminkan kepimpinan beliau yang dihormati di peringkat global serta komitmen Malaysia terhadap misi keamanan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataan sama, KPT turut menayatakan sokongan sepenuhnya terhadap usaha rakyat Malaysia yang kini bersama Freedom Flotilla Coalition (FFC) dalam pelayaran membawa misi kemanusiaan ke Gaza.
“Kementerian amat berbangga dengan penglibatan Prof. Dr. Afandi Salleh dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menjadi antara wakil Malaysia dalam misi FFC tersebut.
“Penyertaan beliau mencerminkan semangat solidariti tinggi dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara termasuk para pensyarah, pelajar, dan seluruh komuniti IPT terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat.
“Doa dan harapan tulus diiringkan agar perjuangan mereka dipermudahkan dan setiap langkah akan dilindungi daripada sebarang ancaman,” katanya.
Menurut KPT lagi, sebagai institusi yang mendukung pembangunan insan dan ilmu, pihak kementerian akan terus memupuk nilai keprihatinan, empati dan tanggungjawab global dalam kalangan warga kampus.
“Semoga semangat keberanian serta keikhlasan yang dizahirkan melalui misi ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








