Kerajaan lulus RM10 juta tingkat kesejahteraan rakyat, ekonomi Muar
MUAR – Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di Muar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan disalurkan segera supaya manfaatnya dapat dinikmati dalam masa terdekat.
“Kita mahu rakyat di Muar juga menikmati pembangunan yang seimbang.
“Justeru, peruntukan RM10 juta ini akan dimanfaatkan sebaiknya melalui pelbagai projek pembangunan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Julina Johan.
Anwar kemudiannya berkata, pelaksanaan projek akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bersama Pejabat Daerah Muar.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memilih Johor, khususnya Muar, sebagai tuan rumah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.
Kata beliau, Muar merupakan lokasi di mana sejarah kemerdekaan disemai dan melahirkan tokoh-tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh.
“Mereka bukan sahaja berani tetapi jujur dalam perjuangan dan tulus dalam khidmat mereka untuk tanah air.
“Maka, apabila Johor dan khususnya Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan tahun ini, saya percaya ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu penghargaan kepada sejarah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








