BERITA SEMASAPMXSUKAN

Persiapan Sukan SEA 2027 menyeluruh, terancang dan berwibawa – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan persediaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

“Ia bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan pelbagai kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.

Mesyuarat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.

Menurut Anwar, kejayaan itu adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di peringkat serantau.

“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September dengan melibatkan empat negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 38 jenis sukan bakal dipertandingkan dan pemilihan tarikh temasya tersebut adalah dengan mengambil kira musim cuti universiti serta keadaan cuaca.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button