BERITA SEMASA

Kerajaan tekankan strategi tingkat pendapatan untuk atasi kemiskinan

Fokus Prakarsa Menangani Kos Sara Hidup dalam RMK13

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited untuk meningkatkan pendapatan rakyat sebagai strategi utama dalam membasmi kemiskinan dalam semua bentuk, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Perkara itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negara bagi kelulusan, hari ini.

Beliau berkata, ikhtiar sedemikian adalah penting bagi mencipta peluang untuk meningkatkan mobiliti sosial.

“Justeru, pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat serta program pemerkasaan ekonomi komuniti dan pembangunan kesejahteraan rakyat akan terus dilaksanakan,” kata Anwar dalam ucapan beliau, hari ini.

Selain meningkatkan kadar gaji minimum dan suntikan dana secara terus kepada komuniti bagi merancakkan ekonomi setempat, antara langkah yang terkandung dalam Prakarsa Menangani Kos Sara Hidup termasuk meningkatkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Jualan Menu Rahmah.

“Sasaran keberhasilan untuk dicapai dalam tempoh RMK13 ini adalah antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara purata sehingga 4.5 dan 5.5 peratus.

“Bagaimanapun, kita harus kaji dari semasa ke semasa sasaran ini berdasarkan ketidaktentuan dari segi politik global yang mencabar dan sentiasa berubah,” katanya lagi.

Bertemakan Melakar Semula Pembangunan, RMK13 itu berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah; sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Empat tonggak utama digariskan di bawah RMK13 iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi; meningkatkan mobiliti sosial; mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Di samping itu, RMK13 turut mengandungi sembilan prakarsa iaitu menuju negara berteraskan kecerdasan buatan; melonjakkan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik; menyeimbangkan kemajuan ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan pembangunan desa serta memperhebat penglibatan dan peranan Malaysia di persada ekonomi dunia.

Tumpuan lain adalah memastikan perkhidmatan telus, tangkas dan tuntas, menangani beban kos sara hidup, merekayasa sistem sosial berteraskan insan MADANI, meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button