PACE RM710 juta lonjak kebolehgajian pekerja, perkukuh ekonomi negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 atau Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh kebolehgajian pekerja, melindungi serta memastikan pasaran buruh negara kekal mampan dalam menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej berkenaan dilaksanakan ketika kadar pengangguran negara kini berada pada paras 2.9 peratus, iaitu tahap terendah dalam tempoh lebih sedekad.
Menurutnya, langkah proaktif perlu diambil terutama dalam era perubahan teknologi yang pantas bagi memastikan pekerja terus berdaya saing dan mereka yang berisiko kehilangan pekerjaan dapat dilatih semula dengan kemahiran baharu selaras kehendak industri.
“Namun begitu, kita tidak boleh leka dan perlu proaktif dan bersiapsiaga terutamanya dalam era teknologi cepat berubah.
“Kita perlu dapat membantu pekerja terus berdaya saing dan bagi yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu seiring dengan permintaan dan keperluan industri terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2026, di sini hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan PACE memberi fokus kepada empat inisiatif utama.
Katanya, inisiatif pertama melibatkan kesiapsiagaan perlindungan sosial menerusi pengukuhan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan dana melebihi RM580 juta bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan serta meningkatkan peluang pekerjaan semula.
“Inisiatif kedua adalah pemerkasaan latihan dan penempatan kerja dengan peruntukan RM100 juta melalui HRD Corp di bawah program HRD Yakin Madani, disokong MyFutureJobs untuk memudah cara penempatan pekerjaan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengupayaan pekerja gig menerusi peruntukan RM20 juta melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi meningkatkan kemahiran serta perlindungan sosial golongan tersebut.
“Bagi pemantapan bakat muda dan ketahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kita akan menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong perusahaan PMKS serta syarikat pemula yang mengambil pelatih industri.
“Inisiatif ini akan dibiayai oleh TalentCorp dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








