Pelantikan Azam Baki di NFCC hanya boleh dibatalkan Agong – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembatalan keanggotaan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri berkata, pelantikan tersebut tidak berkaitan dengan status Azam Baki sebagai bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia masih berkuat kuasa sehingga 2027.
“Soal ini, lantikannya terpakai sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanyalah boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak terkait dengan (status) sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya selepas solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai penasihat NFCC susulan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dikaitkan dengan beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat dan pemilikan saham.
Selain Hamzah, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut meminta kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan pelantikan Azam sebagai penasihat di NFCC.
Katanya, laporan mengenai pelantikan itu menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai masih menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkaitan korporat serta kaitan yang didakwa membabitkan Azam.
Terdahulu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam kenyataan media menjelaskan pelantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sehubungan itu, kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Pengarah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















