Anwar sahkan berlaku ‘sakau’ dalam Tabung Haji, RM12 bilion lesap
MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan memang berlaku perbuatan ‘sakau’ atau penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi berkenaan.
Presiden PKR itu berkata, Tabung Haji mengalami kerugian sehingga RM12 bilion, sekali gus menunjukkan wujudnya penyelewengan dalam pengurusan institusi berkenaan.
Menurutnya, walaupun istilah ‘sakau’ tidak disenangi sesetengah pihak, perkara itu perlu disebut berdasarkan apa yang didedahkan dalam laporan RCI.
“Orang tidak suka istilah ‘sakau’. Saya mahu ulang di Melaka: memang ada ‘sakau’ melibatkan Tabung Haji.
“RM12 bilion hilang, bukan penyelewengan? Ada (penyelewengan),” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Anwar berkata, demikian ketika menyentuh isu laporan RCI Tabung Haji yang menjadi perhatian selepas kerajaan memutuskan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.
Laporan RCI itu antara lain meneliti pengurusan dan operasi Tabung Haji, termasuk isu kedudukan kewangan serta keputusan membabitkan aset institusi berkenaan.
RCI berkenaan ditubuhkan pada 2022 bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Anwar berkata, terdapat pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan penyalahgunaan besar dalam pengurusan Tabung Haji, namun ketika itu beliau tidak menyifatkannya secara langsung sebagai rasuah.
Kerajaan kemudian mengambil langkah untuk mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum selepas sebelum ini penerbitannya ditangguhkan bagi mengelakkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit yang dikhuatiri boleh mencetuskan pengeluaran wang secara besar-besaran.
Isu itu turut mendapat perhatian susulan kedudukan kewangan Tabung Haji yang pernah mencatat defisit aset-liabiliti sehingga RM10.9 bilion pada 2018.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan RCI Tabung Haji turut dibincangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.
Anwar sebelum itu menegaskan laporan berkenaan perlu dibaca secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan penemuan yang dikemukakan.
Dalam ucapannya hari ini, beliau sekali lagi menegaskan bahawa isu kehilangan dana berjumlah berbilion ringgit itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, terutama apabila ia membabitkan institusi yang menguruskan wang umat Islam.
Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui apa yang berlaku dan pihak yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan berdasarkan fakta serta penemuan rasmi RCI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








