PMX

Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia perlu lebih proaktif tarik pelaburan ke dalam negara – PM

KUALA LUMPUR – Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menarik pelaburan dan perdagangan ke dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus Kerajaan Madani adalah untuk terus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, antaranya melalui manfaat perdagangan dan pelaburan luar berkualiti tinggi.

“Justeru, adalah sangat penting untuk semua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyusul, meneroka serta menarik pelaburan dan perdagangan penting bagi memacu ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook miliknya selepas menerima kunjungan hormat daripada enam Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu pagi tadi.

Menurut Perdana Menteri, mereka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 27 Ogos lalu dan bakal menggalas amanah baharu di negara-negara penempatan kelak.

Mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan; Duta Besar ke Sweden, Ambassador Sarimah Akbar; Duta Besar ke Qatar, Ambassador Faizal @ Mohd Faizal Razali; Duta Besar ke Emiriah Arab Bersatu, Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin; Duta Besar ke Peru, Ambassador Ahmad Irham Ikmal Hisham dan Pesuruhjaya Tinggi ke Bangladesh, Ambassador Mohd Shuhada Othman.

Dalam pertemuan itu, Anwar juga Menteri Kewangan turut menitipkan pesanan untuk Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan segala kepentingan negara sentiasa dipelihara dan diperjuang.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan atas pelantikan ini dan semoga mereka menggalas tanggungjawab dan amanah ini dengan penuh tekad dan keazaman,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button