BERITA SEMASAPMX

Harga RON95 turun kepada RM1.99 selepas penyasaran subsidi – PM Anwar

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih murah apabila penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga baharu RON95 nanti akan diturunkan kepada RM1.99 seliter apabila penyasaran dilaksanakan kelak.

Beliau berkata, perincian penyasaran itu akan diumumkan menjelang akhir September tahun ini.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat laksanakan (penurunan) ini lebih awal. Oleh kerana ketidaktentuan ekonomi dunia, dan juga kerana pelbagai faktor lain.

“(Bagaimanapun) Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.

“Kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas; bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.

“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter,” katanya.

Anwar berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, hari ini.

Warga asing dan individu yang tidak layak menerima subsidi akan membayar pada harga pasaran.

Kata Perdana Menteri, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button