BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMX

Belanjawan 2026: Bayaran STR Fasa 4 diawalkan sempena Deepavali, manfaat 9 juta penerima

KUALA LUMPUR – Kegembiraan sambutan Deepavali tahun ini bakal berganda buat rakyat apabila kerajaan mengumumkan bahawa bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 bagi tahun 2025 akan diawalkan kepada 18 Oktober ini, berbanding jadual asal pada November.

Langkah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan MADANI terhadap rakyat, khususnya kaum India yang bakal meraikan perayaan cahaya tidak lama lagi.

“Walaupun angka-angka ekonomi kelihatan meyakinkan, kerajaan mengakui kos sara hidup semakin meningkat dan membebankan.

“Justeru, bantuan tunai rakyat akan terus ditambah bagi meringankan tekanan kewangan isi rumah,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk pelaksanaan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan hampir 9 juta penerima di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, bayaran STR sehingga Fasa 3 telah disalurkan dengan nilai RM6 bilion manakala Fasa 4 bernilai RM2 bilion akan diagihkan lebih awal bagi membantu rakyat membuat persiapan perayaan.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali bagi memudahkan perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.

Anwar mengingatkan bahawa setiap cabaran ekonomi yang dihadapi perlu ditangani dengan keteguhan hati dan semangat kebersamaan.

“Susah dan senang silih berganti, namun keteguhan hati nurani adalah mercu tertinggi kemuliaan insan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button