iFUTURE 2026 himpunkan 1,231 pemimpin muda dari 60 negara
KUALA LUMPUR – Seramai 1,231 mahasiswa dari 60 negara berhimpun pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa 2026 (iFUTURE 2026) bagi memperkukuh jaringan kepimpinan dan membentuk generasi pemimpin masa depan yang berteraskan nilai serta integriti.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi itu berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan penyertaan 813 mahasiswa tempatan dan 418 mahasiswa antarabangsa.
Bertemakan “Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai”, edisi ketiga program berkenaan memberi tumpuan kepada pembentukan pemimpin muda yang berintegriti, berwibawa, mempunyai pemikiran strategik serta peka terhadap isu nasional dan global.
Penganjuran itu turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai sesi dialog, forum dan perkongsian bersama pemimpin negara serta tokoh daripada sektor kerajaan, Parlimen, akademia, perniagaan, keusahawanan, industri kreatif dan kepimpinan belia.
Antara pengisian utama ialah dialog bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof pada 12 Oktober yang membawa tema “Nilai, Wawasan dan Tanggungjawab dalam Era Global”.
Turut dijadual berlangsung ialah Forum Menteri bertajuk “Suara Masa Hadapan: Perbincangan Mengenai Kepimpinan dan Pembinaan Negara Bangsa” yang menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Selain itu, peserta turut mengikuti perbincangan berkaitan inovasi, ekonomi kreatif, ketahanan mental, demokrasi dan pemerkasaan belia sebagai sebahagian usaha memperluas pemahaman mereka terhadap cabaran kepimpinan masa kini.
Enam bidang utama menjadi fokus program itu, iaitu pembinaan negara, inovasi, ekonomi kreatif, kepimpinan berdaya tahan, tujuan dan nilai serta pengaruh digital.
Pengisian tersebut dirangka bagi menggalakkan mahasiswa mengembangkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan berlandaskan nilai serta tanggungjawab sosial.
Dalam pada itu, acara pembukaan menerusi KL iFUTURE Explorace 2026 (KLiX2026) di Padang Merbok pada 11 Oktober memberi peluang kepada peserta mengenali Kuala Lumpur melalui aktiviti eksplorasi bandar menggunakan pengangkutan awam.
Aktiviti itu turut menggabungkan permainan tradisional dalam usaha mencatatkan dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu penyertaan paling ramai dalam permainan batu seremban secara serentak dan penyertaan paling ramai dalam acara explorace.
Majlis penutupan iFUTURE 2026 dijadual disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 13 Oktober, dengan pengisian pembentangan resolusi mahasiswa serta penghimpunan hasil perbincangan dalam PlayBook iFUTURE 2026.
Resolusi yang dibentangkan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi itu akan merumuskan aspirasi, pandangan dan cadangan mahasiswa sepanjang persidangan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








