BERITA SEMASA

RMK13 angkat pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan komitmen dalam merealisasikan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menekankan pembangunan pendidikan secara menyeluruh sebagai pemangkin kepada kemajuan negara.

Dalam satu kenyataan, KPT menjelaskan bahawa RMK13 memberi penekanan khusus kepada pembangunan modal insan holistik, pengukuhan sistem pendidikan tinggi serta penerapan nilai MADANI dalam melahirkan generasi berdaya saing dan inklusif.

Menurut KPT, RMK13 menyediakan pelan strategik bagi sektor pendidikan tinggi yang merangkumi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendigitalan pembelajaran, pengantarabangsaan universiti serta pembangunan penyelidikan berimpak tinggi.

“KPT komited untuk melaksanakan tanggungjawab secara menyeluruh bagi menjayakan matlamat RMK13,” kata kenyataan itu.

Menurut memaklumkan, beberapa fokus utama turut diberi perhatian termasuk usaha memperkukuh tadbir urus, merasionalisasi peranan institusi pendidikan serta meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan tinggi negara.

Antara inisiatif lain yang digariskan ialah pemantapan kompetensi tenaga pengajar, penambahbaikan pelaburan dalam pendidikan, pengukuhan pembelajaran sepanjang hayat serta pemerkasaan ekosistem TVET.

“KPT turut menzahirkan komitmen berterusan dalam melaksanakan dasar dan inisiatif yang berpaksikan nilai murni serta memenuhi keperluan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Jelas KPT, pendidikan tinggi bukan sahaja pemacu pertumbuhan ekonomi negara, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan beretika tinggi.

Sehubungan itu, KPT menyeru semua pihak termasuk institusi pengajian tinggi, agensi berkaitan, industri dan masyarakat untuk berganding bahu menjayakan agenda RMK13 demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button