Belanjawan 2026: Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM21.7 billion
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara dengan memperuntukkan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan RM21.2 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan MADANI 2026.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan adalah untuk meningkatkan keupayaan serta daya tahan pasukan keselamatan melalui penyelenggaraan aset, perolehan baharu dan pembangunan fasiliti strategik di seluruh negara.
Beliau berkata, tumpuan pertama ialah penyelenggaraan dan pembelian aset pertahanan bernilai RM6 bilion, meliputi perolehan baharu.
“Ia termasuk Sistem Medium, Short dan Very Short Range Air Defence; Dua buah Kapal Multi Role Support Ship (MRSS); dan 10 kenderaan operasi baharu bagi misi MALBATT,” katanya pada Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Keutamaan kedua katanya melibatkan penyelenggaraan dan pembelian aset PDRM serta badan beruniform di bawah KDN dengan peruntukan RM1 bilion, termasuk perolehan:
“Ia termasuk 100 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk risikan dan operasi PDRM; empat bot ronda Fast Patrol Vessel bagi Pasukan Polis Marin dan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Bagi keutamaan ketiga, kerajaan katanya memperuntukkan lebih RM1.5 bilion bagi pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu badan beruniform di seluruh negara, antaranya:
Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan;
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik, Perak;
Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin, Labuan;
Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah;
Pusat Latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan;
Naik taraf ICQS Sungai Tujoh, Miri, Sarawak;
Bangunan tambahan Batalion 23 PGA, Sri Aman, Sarawak; serta
Tiga Pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh operasi pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform (MPCP) baharu bagi memperkukuh keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.
Dalam masa sama, beliau berkata, syarikat yang dianugerahkan kontrak perolehan di bawah MINDEF akan diwajibkan melaksanakan skim PROTÉGÉ bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Langkah itu juga akan memberi peluang kepada anggota ATM yang bakal bersara untuk mengikuti latihan bersijil dan diploma, termasuk pembiayaan melalui program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme.
“Kerajaan mahu memastikan anggota keselamatan yang telah berbakti kepada negara terus terbela, bukan sahaja semasa berkhidmat, malah selepas mereka menamatkan tugas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








