BERITA SEMASA

Malaysia tegas pertahan kedaulatan walau ada hubungan diplomatik dengan China

KUALA LUMPUR – Malaysia tetap tegas mempertahankan kedaulatan negara walaupun mempunyai hubungan diplomatik yang akrab bersama China.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kedua-dua negara sentiasa menggunakan platform sedia ada bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk terutama berkaitan isu di Laut China Selatan.

Ketika ini, katanya lagi, Malaysia dan China sedang berunding bagi memuktamadkan kod tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatannya ke China baru-baru ini, ada menyentuh soal serantau dan antarabangsa, termasuk isu sedang diteliti kedua-dua negara.

“Malaysia juga akan memanfaatkan kerangka ASEAN sedia ada untuk berunding dan berbincang dengan China,” katanya pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai pendirian negara susulan tindakan China dilihat memperkukuh kuasa maritim di Laut China Selatan, selain turut menghampiri kawasan luar pantai Sarawak.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia akan memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, bagi memantapkan kerjasama dengan China dan negara anggota.

“Ia dimaklumkan Ahmad Zahid ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang di Beijing, baru-baru ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai dialog antara ASEAN dan Shanghai Cooperation Organisation.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button