PUTRAJAYA – Malaysia terus komited memperkukuh persefahaman antara agama dan mempromosikan nilai kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama dalam usaha mewujudkan dunia yang lebih aman dan stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung Muslim World League, Mohammad Abdulkarim Alissa, di Putrajaya, petang tadi.
Anwar berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta negara.
Katanya, platform berkenaan penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang.
“Sheikh Dr Mohammad turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, beliau menghargai peranan aktif Muslim World League dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan dan kerjasama rentas agama ketika dunia berdepan pelbagai konflik serta ketegangan yang semakin meruncing.
Beliau berkata, perbincangan itu turut menyentuh kedudukan dunia Islam dan keperluan memperkukuh kekuatan umat menerusi pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu serta teknologi, di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat.
“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








