Isu Gaza: Kerajaan sudah lakukan yang termampu – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang termampu dalam menangani isu keganasan berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia banyak terikat dengan keputusan Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walau bagaimanapun, kekangan kuasa veto yang dimiliki Amerika Syarikat (AS) menyukarkan tindakan tegas diambil ke atas Israel.
“Sekarang ini kita hanya minta minimum – hentikan serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat serta benarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Genosid ini terlalu berat, penderitaan ini belum pernah berlaku dalam abad ini ia yang paling parah sejak Perang Dunia Kedua,” katanya di ketika waktu Pertanyaan Menteri-Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Sany Hamzan mengenai pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan menghadapi ketegangan politik di Asia Barat.
Baca juga : Komitmen Malaysia salur bantuan ke Gaza tidak akan terhenti
Tambah Perdana Menteri, isu tersebut turut dibangkitkan beliau dalam pertemuan bersama beberapa pemimpin dunia termasuk ketika sidang kemuncak BRICS bersama Perdana Menteri Sepanyol, Presiden Colombia, Presiden Brazil, dan Presiden Afrika Selatan.
“Tuntutan kita supaya hentikan pembunuhan dan keganasan belum menunjukkan kesan. Segala yang mampu kita lakukan telah kita lakukan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai langkah bagi menghentikan pembantaian rakyat Palestin, Anwar menegaskan bahawa beliau bersama Kementerian Luar Negeri telah memainkan peranan sewajarnya termasuk mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin dunia seperti bekas Presiden AS, Joe Biden; Presiden Itali dan Perancis.
“Sekarang ini ada juga inisiatif tambahan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (The Hague) dan Malaysia adalah antara negara yang telah menghantar wakil tertinggi ke sana,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa hubungan peribadi beliau dengan beberapa pemimpin negara Arab diteruskan sama ada melalui lawatan rasmi mahupun mesyuarat pelbagai hala.
“Saya juga berbicara dengan Presiden Iran, walaupun tidak ramai pemimpin Islam lain berani berbuat demikian kerana tekanan daripada Barat termasuk AS.
“Tetapi kita terpaksa lakukannya kerana Iran juga dizalimi dan menjadi antara negara yang berani berdepan dengan kekejaman Israel,” jelasnya.
Tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, Israel merupakan sebuah negara pengganas yang terus-menerus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin kerana mendapat dukungan penuh daripada negara Barat dan AS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








