PMX

Kerajaan sambut baik pelaburan Google lebih RM9 bilion di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyambut baik satu lagi pengumuman pelaburan langsung asing ke Malaysia selepas sebuah syarikat teknologi utama dunia, Google mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion (AS$2 bilion) di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu penting bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

Jelas beliau, pelaburan tersebut dijangka akan membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan Kerajaan yang jelas selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei yang lalu, Perdana Menteri menekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.

“Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button