BERITA SEMASA

Pengumuman PM komitmen Kerajaan MADANI bela nasib rakyat – Ramanan

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, pengumuman Perdana Menteri itu bukan satu kebetulan.

“(Pengumuman itu) penzahiran falsafah pentadbiran MADANI yang berteraskan ihsan, kesederhanaan dan keberanian, serta berpaksikan integriti, kejujuran dan kebijaksanaan dalam menangani cabaran pasca pandemik serta suasana ekonomi global yang mencabar.

“Sebagai Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan, saya menyaksikan sendiri bagaimana dasar dan keputusan kerajaan digubal melalui perbincangan telus, berpandukan data dan matlamat tunggal iaitu demi rakyat,” kata Ramanan dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR kemudiannya berkata, negara ini kini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat, yang bukan sahaja berjiwa rakyat tetapi berani membuat keputusan besar demi kebaikan bersama.

“(Sehubungan itu) Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghargai, menyokong dan menyambut baik segala usaha murni ini, sambil kita terus menghayati semangat kemerdekaan dan perpaduan dalam kerangka Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah besar termasuk bantuan tunai, subsidi bersasar, inisiatif pengurangan kos sara hidup serta angka pelaburan yang tinggi ketika muncul pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button