BERITA SEMASA

Pemergian Syed Muhammad Naquib Al-Attas satu kehilangan besar dunia intelektual Islam – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh pemikir dan sarjana ulung negara, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkan sebagai antara minda terbesar dalam dunia Islam.

Menurut beliau, Allahyarham bukan sekadar seorang ahli falsafah, malah tokoh yang sentiasa mengajak masyarakat berfikir bukan sahaja tentang apa yang diketahui, tetapi juga tujuan sebenar ilmu itu sendiri.

“Melalui karya-karya besar beliau termasuk Islam and Secularism dan karya agung Prolegomena to the Metaphysics of Islam, beliau mencabar proses pensekularan ilmu serta membina asas intelektual bagi pandangan alam Islam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, pemikiran Syed Muhammad bukan sahaja didengari di Malaysia, malah turut memberi kesan mendalam kepada dunia Islam secara keseluruhan.

Menurut beliau, tokoh yang juga dikenali sebagai Profesor Diraja itu meninggal dunia pada malam ke-19 Ramadan pada usia 95 tahun.

“Itu adalah kehidupan yang dilalui dengan penuh makna dan pemergian yang amat dihormati,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Anwar bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta semua yang pernah menimba ilmu daripada beliau.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan rahmat-Nya dan menempatkan beliau pada kedudukan tertinggi dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button