JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki maut dipercayai cuba curi kabel TNB

KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran rumah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 21, jalan dari FELDA Adela menghala ke Sungai Rengit, di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai maut ketika cuba mencuri kabel elektrik di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 6.46 pagi berhubung penemuan seorang individu tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati lelaki itu terbaring kira-kira satu meter dari rumah pencawang TNB dan 20 meter dari jalan raya.

“Pemeriksaan pada tubuh badan lelaki itu mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui, selain tiada tanda-tanda awal yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel TNB, termasuk cangkul kecil berukuran 45 sentimeter, mesin canai tanpa kord, tukul besi, perengkuh paip dan lampu suluh kepala.

Beliau berkata, identiti mangsa masih dalam proses pengesahan, manakala punca kematian belum diketahui dan masih dalam siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat merangkap Ketua Polis Balai Adela, Sarjan Mejar Muhammad Aliff Syah Abdullah, menerusi talian 013-7426353 atau Hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button