Penutupan sekolah akibat jerebu diputuskan berdasarkan situasi semasa
PUTRAJAYA – Sebarang keputusan untuk menutup atau membuka semula sekolah susulan keadaan jerebu akan ditentukan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa serta nasihat agensi berkaitan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurutnya, pertimbangan menyeluruh diperlukan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid.
“Keputusan berhubung operasi sekolah dibuat secara bersama berdasarkan panduan serta nasihat jawatankuasa yang terlibat dalam pengurusan situasi jerebu.
“Keputusan akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan panduan dan nasihat yang diberikan semua pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri PETAH KPM 2026, Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026, hari ini.
Mengulas kemungkinan jerebu berlarutan sehingga November atau Disember, Fadhlina berkata, kementerian akan terus merujuk panduan serta mendapatkan nasihat jawatankuasa berkaitan sebelum menentukan langkah seterusnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau tahap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya kurang sihat.
“Ibu bapa tidak perlu menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mereka tidak sihat, sebaliknya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” katanya.
Beliau turut meminta ibu bapa mengikuti pengumuman rasmi KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai sebarang arahan penutupan atau pembukaan sekolah.
Katanya, pandangan KKM juga diambil kira dalam membuat keputusan, terutama bagi menilai kesan penutupan sekolah untuk tempoh panjang terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Terdahulu, semua sekolah di bawah empat PPD di Selangor dan Kuala Lumpur diarahkan tutup pada 12 Oktober susulan keadaan jerebu.
Penutupan itu melibatkan sekolah di bawah PPD Bangsar Pudu, PPD Hulu Langat, PPD Gombak dan PPD Petaling Perdana.
Di Johor pula, penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan dilanjutkan selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat depan berikutan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







