Hadiah juara PETAH KPM dinaikkan kepada RM30,000 tahun depan
PUTRAJAYA – Hadiah kemenangan bagi acara PETAH KPM akan dinaikkan kepada RM30,000 untuk juara bagi kedua-dua kategori iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan memastikan PETAH KPM terus menjadi acara berprestij yang mampu menyerlahkan bakat murid dalam penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Untuk tahun depan, kita naikkan lagi hadiah kemenangan. Insya-Allah, juara RM30,000 untuk kedua-dua acara terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri PETAH KPM 2026, Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026, di sini hari ini.
Dalam pertandingan tahun ini, negeri Kedah muncul juara bagi kategori bahasa Melayu, manakala negeri Pahang menjuarai kategori bahasa Inggeris.
Menurut Fadhlina, penganjuran PETAH KPM pada tahun ini menunjukkan perkembangan positif dari segi mutu pertandingan dan penguasaan bahasa dalam kalangan peserta.
Beliau turut menyifatkan bakat yang ditampilkan murid dalam peringkat akhir pertandingan debat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Hal ini kerana pencapaian peserta bukan sahaja mencerminkan keupayaan akademik, malah memperlihatkan perkembangan mereka secara holistik.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian anak-anak kita kerana kemenangan ini bukan sahaja hasil daripada satu sisi akademik, tetapi juga secara holistik,” tambahnya.
Beliau berkata, PETAH KPM turut menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang kaum menerusi penyertaan dalam pertandingan kebahasaan.
Menurutnya, penganjuran program itu perlu terus diperkasakan bagi memastikan nilai MADANI dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda, khususnya melalui amalan berbahasa secara santun dan matang ketika berhujah.
PETAH KPM 2026 Peringkat Kebangsaan berlangsung dari 12 hingga 15 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan tema “Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI”.
Program anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris menerusi pelbagai pertandingan kebahasaan.
Selain Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026, sebanyak 16 pertandingan lain turut dianjurkan, termasuk pidato, public speaking, bicara berirama, choral speaking, pantun dan Beyond The Mic Podcast Challenge.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








