BERITA SEMASA

Pengampunan bersyarat Najib wewenang Agong bukan PM atau PH – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan fakta berkaitan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya dikaburkan kerana perbezaan politik.

Beliau berkata, keputusan itu sudah tentu mengundang pelbagai reaksi, termasuk penerimaan, kekecewaan dan kemarahan, namun rakyat berhak menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan.

“Pada masa yang sama, kita mesti jujur dengan fakta. Pengampunan adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Wanita PKR menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64, dengan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Fadhlina berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan kedudukan Perlembagaan dikaburkan atau keputusan berkenaan digambarkan seolah-olah dibuat oleh Perdana Menteri atau Pakatan Harapan.

Menurutnya, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara itu.

“Dalam hal ini, pendirian kita jelas. Menghormati keputusan ini tidak bermakna pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa berubah.

“PKR lahir dengan keberanian melawan salah guna kuasa. Prinsip itu menuntut kita memastikan undang-undang terus berjalan tanpa mengira pangkat atau pengaruh seseorang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button