BERITA SEMASAPOLITIK

Pelantikan Ketua Hakim Negara jawab cercaan yang dilemparkan – Anwar

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anggota dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar terus memperkukuhkan perpaduan parti serta tidak terperangkap dengan fitnah yang cuba menggugat kestabilan institusi negara, khususnya badan kehakiman.

Beliau menegaskan, PKR sebagai parti yang mewakili rakyat pelbagai latar belakang perlu mengekalkan semangat inklusif dan menyatu demi menghadapi cabaran politik serta serangan persepsi daripada pihak lawan.

“PKR mesti terus maju ke hadapan. Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan. Inilah parti milik rakyat, bukan satu kaum atau kelompok,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Selangor di Shah Alam, hari ini.

Pelantikan Ketua Hakim Negara jawab cercaan yang dilemparkan - Anwar
YAB Perdana Menteri, juga Presiden Parti Keadilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bertemu pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam. 18 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Anwar berkata, perpaduan dalaman amat penting dalam mendepani musuh politik yang mempunyai sumber, dana dan rangkaian yang luas, namun yakin kekuatan sebenar terletak pada semangat rakyat dan iltizam reformasi yang dipegang PKR.

Dalam pada itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya kerajaan campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tohmahan jahat terhadap institusi kehakiman.

“Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan tersebut.

“Ia bukti jelas bahawa proses berjalan mengikut lunas perlembagaan tanpa pengaruh eksekutif,” katanya lagi.

Anwar turut menjelaskan bahawa prinsip ketelusan dan semak imbang mesti dipertahankan, namun kebebasan kehakiman juga perlu disertai dengan kebertanggungjawaban.

“Mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa tanggungjawab. Di negara-negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif masih punya ruang untuk menyuarakan pandangan,” katanya lagi.

Beliau menyeru seluruh jentera parti agar aktif memberi penjelasan mengenai dasar dan pencapaian kerajaan, termasuk kenaikan gaji penjawat awam, bantuan rakyat pelbagai kaum dan reformasi institusi yang sedang dijalankan.

“Apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar. Amanah ini akan saya galas dengan prinsip dan kekuatan.

“Kita lawan bukan dengan emosi, tapi dengan fakta, hujah dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button