BERITA SEMASADALAM NEGERI

Selangor dinobat johan keseluruhan Simposium Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan 2025

KUALA TERENGGANU – Selangor terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang pendidikan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dalam Simposium Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, di sini.

Simposium anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) itu mengetengahkan tema “Generasi MADANI: Terokai STEM, Terajui Kerjaya Bertaraf Global” yang menjadi platform memperkukuh profesionalisme guru bimbingan dan kaunseling (GBK) di seluruh negara.

Barisan pegawai JPN Selangor teruja menerima anugerah masing-masing.

Kemenangan Selangor menjadi lebih bermakna apabila negeri itu turut menerima pengiktirafan Pengurusan Terbaik Kaunseling Kerjaya Murid pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan sehari sebelumnya, menandakan kejayaan berganda dalam tempoh dua hari.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa komitmen GBK yang berperanan membimbing murid dari segi emosi, sosial dan hala tuju pendidikan.

“Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Negeri Selangor juga memainkan peranan penting dalam menyediakan platform latihan, advokasi profesional dan membangunkan jaringan komuniti pembelajaran di seluruh negeri.

“Selain itu, sinergi antara JPN Selangor, MGKK, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah di negeri ini menjadi faktor utama menjulang Selangor sebagai model terbaik dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling negara,” kata kenyataan tersebut.

Selangor Kaunseling
Kejayaan berprestij itu membuktikan Selangor unggul dalam pembangunan insan, membina generasi pelajar yang berakhlak mulia dan berjiwa besar.

Dua kejayaan berprestij itu membuktikan bahawa Selangor bukan sahaja unggul dari segi infrastruktur, tetapi juga dalam pembangunan insan, membina generasi pelajar yang berakhlak mulia, berjiwa besar dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Antara pencapaian cemerlang Selangor termasuklah:

* Johan Amalan Terbaik Pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Sekolah Menengah) – SMK USJ 8, Subang Jaya

* Johan Amalan Terbaik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Sekolah Menengah) – SMK Sungai Besar, Sabak Bernam

* Naib Johan Amalan Terbaik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Sekolah Rendah) – SK Puncak Alam 3, Kuala Selangor

* Tempat Ketiga Inovasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Sekolah Rendah) – SK Seksyen 27(2), Shah Alam

* Tempat Ketiga Inovasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Sekolah Menengah) – SMK Kota Kemuning, Shah Alam

Simposium Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran KPM melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button