Pandangan pengampunan Najib dibuat selepas teliti pendapat bertulis Peguam Negara – Hannah
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pandangannya berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dikemukakan dalam kapasiti beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.
Beliau berkata, perkara itu telah disampaikan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 11 September lalu.
“Sebagai salah seorang anggota Lembaga Pengampunan dan setelah meneliti pendapat bertulis Peguam Negara, saya telah memberikan pandangan atas kapasiti sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hannah berkata, proses berkenaan dilaksanakan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kuasa dan keputusan muktamad berhubung perkara pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, termasuk keputusan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan Najib.
“Selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Kenyataan itu menyusuli Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang berlangsung pada 11 September lalu.
Pada 11 September lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan datang.
Sebelum ini, Hannah mengesahkan beliau dipanggil menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 11 September, namun ketika itu enggan mengulas perkara yang bakal dibincangkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








