HASiL perkasa kesejahteraan komuniti Kampung Bukit Terendak menerusi Program Kampung Angkat MADANI
MELAKA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperluas manfaat Program Kampung Angkat MADANI (KAM) kepada penduduk Kampung Bukit Terendak, Melaka menerusi penyediaan pelbagai kemudahan dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Menurut HASiL, inisiatif itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM500,000 yang disalurkan Kementerian Kewangan kepada HASiL bagi menjayakan Program KAM di kampung berkenaan.
“Antara kemudahan yang disediakan termasuk Taman Rekreasi Kampung Bukit Terendak, kelengkapan Balai Raya serta katil hospital dan kerusi roda untuk kegunaan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut HASiL, Taman Rekreasi Kampung Bukit Terendak menyediakan ruang lebih selesa untuk aktiviti riadah dan rekreasi yang boleh dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, belia, keluarga dan warga emas.
Lawatan ke kampung itu turut disertai Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, Shahrul Niza Bishahrin dan Pengarah Negeri HASiL Melaka, Datuk Mohd Shahriz Ramli.
Lawatan berkenaan memberi peluang kepada HASiL meninjau sendiri kemudahan yang dilaksanakan, menyantuni penduduk serta mendapatkan pandangan berhubung keperluan komuniti setempat.

Program bersama komuniti turut melibatkan aktiviti senamrobik, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti bersama kanak-kanak selain simbolik penyerahan kemudahan serta kelengkapan komuniti.
Ia turut diserikan dengan penyampaian hadiah mewarna sempena sambutan Hari Malaysia, penyerahan sumbangan HASiL Prihatin serta sesi ramah mesra bersama penduduk.
HASiL berkata, sesi bersama komuniti itu penting bagi membolehkan pihaknya mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk, sekali gus memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Pelaksanaan Program KAM di Kampung Bukit Terendak turut mengangkat pendekatan Whole of Government menerusi kerjasama antara HASiL, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan kepimpinan masyarakat.
Kerjasama itu bertujuan memastikan keperluan pembangunan di peringkat komuniti dapat ditangani secara lebih tersusun dan berimpak.
Program KAM diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 sebagai salah satu pendekatan kerajaan untuk meningkatkan capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat melalui penglibatan kementerian serta agensi kerajaan dalam memenuhi keperluan pembangunan kampung yang dikenal pasti.
HASiL berharap pelaksanaan Program KAM di Kampung Bukit Terendak dapat terus memberi manfaat kepada penduduk setempat serta menjadi pemangkin kepada penglibatan berterusan antara agensi kerajaan dan komuniti dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








