POLITIK

PKR rombak barisan MPN: Rafizi dan Nik Nazmi digugurkan

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan rombakan besar kepimpinan negeri apabila mengumumkan senarai baharu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi sesi 2025–2028 yang menyaksikan pengunduran beberapa pemimpin utama termasuk bekas Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, rombakan itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik parti selepas mendapat pandangan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Azman Abidin dilantik sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan menggantikan Rafizi, manakala Dr Zaliha Mustafa mengetuai Johor”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Zack dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor 2025-2028

Nurul Izzah yang sebelum itu memimpin Pulau Pinang pula digantikan oleh Dr Mohamad Abdul Hamid.

Turut digugurkan ialah Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengerusi MPN Kelantan dan Terengganu sebelum ini, yang kini digantikan oleh Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan) dan Zainudin Awang @ Omar (Terengganu).

Perak turut menyaksikan perubahan apabila Chang Lih Kang digantikan dengan Mohamad Hairul Amir Sabri, manakala Kedah kini diterajui oleh Saifuddin Nasution Ismail, menggantikan Nurin Aina Surip.

Di Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengambil alih daripada Mohd Rafee Ibrahim.

Bagaimanapun, terdapat tiga negeri yang mengekalkan kepimpinan sedia ada iaitu Selangor di bawah Datuk Seri Amirudin Shari, Negeri Sembilan di bawah Aminuddin Harun dan Perlis yang terus dipimpin oleh Noor Amin Ahmad.

Rombakan kali ini juga menyaksikan pelantikan Timbalan Pengerusi MPN buat semua negeri, antara lainnya Gan Ay Ling (Perlis), Dr Mohammed Taufiq Johari (Kedah), Goh Choon Aik (Pulau Pinang), Tan Kar Hing (Perak), Borhan Aman Shah (Selangor) dan Adam Adli Abd Halim (Melaka).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dilantik sebagai Pengarah Strategi manakala Mahmud Epah dinamakan sebagai Pengerusi Biro Pendidikan parti.

Menurut kenyataan rasmi itu, pelantikan itu adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah serta menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button