BERITA SEMASA

DAP kecam keganasan politik terhadap keluarga Rafizi

KUALA LUMPUR – DAP mengecam keras insiden serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Rafizi Ramli, yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, semalam.

Ketua Whip Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong berkata, pihaknya memandang serius tindakan itu yang disifatkan sebagai satu bentuk keganasan politik yang pengecut dan tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan politik, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan ahli keluarga. Tindakan ini adalah serangan kejam dan pengecut.

“Kami menyeru pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh dan bebas bagi membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menggesa polis mempercepatkan proses siasatan, mengenal pasti suspek, memaklumkan perkembangan secara berkala kepada orang awam serta melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Menurutnya, tiada sesiapa, termasuk ahli politik dan keluarga mereka, wajar menjadi sasaran ugutan atau serangan fizikal hanya kerana pendirian politik yang diambil.

“DAP berdiri teguh bersama Saudara Rafizi Ramli dalam menghadapi cabaran ini dan mendoakan agar beliau serta keluarga diberikan kekuatan, ketenangan dan perlindungan daripada sebarang ancaman susulan.

“Kita semua harus menolak budaya politik ganas dan memastikan perbezaan pandangan diselesaikan melalui saluran yang sah, aman dan beradab,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button