
Siapa serang UMNO, salah guna kuasa dan khianati rakan? – soal Sheikh Omar
KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa berlaku “serangan terhadap UMNO”, salah guna kuasa dan pengkhianatan susulan tindakan undang-undang terhadap pemimpin parti itu.
Beliau berkata, meskipun tidak jelas kenyataan itu ditujukan kepada siapa, kelmarin bekas Pengerusi Tabung Haji dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah didakwa di mahkamah susulan siasatan berkaitan RCI Tabung Haji.
Katanya, pemimpin UMNO itu didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan imbuhan RM690,000 setahun, kemudahan sebuah BMW 7 Series serta pemandu tetap, selain didakwa mempengaruhi Lembaga Tabung Haji untuk meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.
“Jika itu yang Asyraf maksudkan sebagai ‘salahguna kuasa’ dan ‘khianati rakan’, saya fikir beliau silap.
“Jangan terkeliru antara ‘khianati rakan’ dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pada 30 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan susulan RCI Tabung Haji perlu dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Pada 8 Ogos pula, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan berkaitan RCI Tabung Haji dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ dan tiada pihak terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah.
“Pada 10 September 2026, Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri menyatakan bahawa parti itu tiada halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan terhadap pemimpin kanannya, dengan siasatan terlebih dahulu dilakukan secara adil dan telus.
“Adakah hal ini yang Asyraf marah sangat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)? Yang beliau katakan sebagai ‘serangan terhadap UMNO’?
Yang beliau kata ‘bobrok’, ‘mengaibkan’ dan ‘memalukan’ UMNO?” soalnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








