POLITIK

Belum ‘terbuka hati’ bertemu wakil pembangkang – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau masih belum ‘terbuka hati’ untuk bertemu dengan wakil parti pembangkang walaupun ada di antara mereka mahu bertemu dengannya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pertemuan itu difahamkan adalah untuk berunding membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Ada delegasi yang datang mahu jumpa saya dan Anwar, saya tidak terbuka hati lagi jumpa mereka.

“Saya pesan jangan dipatuk ular yang sama untuk kali kedua di tempat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman; Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Jazlan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.

Ahmad Zahid turut berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS buat masa ini, dan jika ada, ia hanya pertemuan tidak rasmi.

Pada 8 Julai lalu, Ahmad Zahid menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu kerana mendakwa kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dikhianati PAS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button