POLITIK

PRN Melaka dan Johor: AMANAH sedia hadapi pertandingan 2 atau 3 penjuru

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menghargai kejujuran Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) mengenai rundingan kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, kenyataan Tok Mat yang menyatakan keputusan sama ada mahu bersama PH atau bergerak solo masih belum dimuktamadkan adalah lebih matang dan telus berbanding kenyataan sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Mat atas jawapannya. Secara tenang beliau menyatakan bahawa kerjasama itu tidak mungkin dilakukan buat masa ini kerana keputusan sama ada bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat.

“Jawapan sebegini jauh lebih matang dan ikhlas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, AMANAH tetap mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan yang terjalin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun mengakui keputusan itu terletak di tangan BN.

Katanya, kerjasama yang diasaskan selepas PRU15 disifatkan berjalan dengan baik, penuh tolak ansur serta keikhlasan tanpa unsur paksaan atau pengkhianatan.

“Tiada sebab untuk BN menolak kerjasama ini. Agak menghairankan jika BN masih teragak-agak untuk meneruskannya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan AMANAH akan bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan termasuk pertandingan dua atau tiga penjuru sekiranya BN memilih haluan berbeza.

“Kami terus berharap keikhlasan PH dalam berpakat akan dihargai dan mempengaruhi keputusan BN.

“Pada masa sama, AMANAH akan menggerakkan jentera mulai sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ini bukan amaran atau cabaran, tetapi sekadar menyatakan hakikat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button