‘Saya tak kenal dia’ – Ahmad Zahid
BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat dakwaan sinis bahawa beliau tidak mengenali individu bernama Isham Jalil.
“Saya tak kenal dia dan saya tak pernah tahu dia,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Al-Mubarak di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini, lapor KOSMO.
Ahmad Zahid memberi reaksi demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Isham yang menolak pelawaan beliau untuk mana-mana ahli UMNO yang digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.
Isham yang dipecat daripada UMNO pada 2023 sebelum ini menyatakan tidak berminat untuk menyertai gagasan tersebut kerana ia masih berada dalam kerangka kerajaan MADANI.
Beliau turut menggesa Ahmad Zahid supaya menemui dan memohon maaf kepada bekas pemimpin parti yang dipecat.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai inisiatif Rumah Bangsa, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana menteri berkata, sambutan yang diterima amat menggalakan apabila ramai bekas ahli UMNO menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu.
Beliau menambah, jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.
“Saya yakin jawatankuasa itu tidak mengenakan sebarang syarat, mereka hanya mahu permohonan dibuat secara rasmi supaya tidak timbul masalah di belakang hari nanti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








