POLITIK

PAU 2024: Pemimpin Kerajaan akan hadir jika berkelapangan – Zahid

PUTRAJAYA – Jemputan pemimpin-pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) masih dalam perbincangan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO bersedia untuk menjemput pemimpin dari parti lain, namun ia bergantung kepada kelapangan ketua-ketua parti masing-masing.

“Tahun lepas memang kita jemput pemimpin kerajaan perpaduan, sama ada datang atau tidak kita lihat kelapangan pemimpin berkenaan untuk menghadiri PAU kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media selepas merasmikan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu.

Ditanya adakah kad jemputan telah diedarkan kepada semua ketua-ketua parti, Ahmad Zahid berkata, perkara itu juga sedang dibincangkan.

“Kita telah berbincang,” katanya ringkas.

PAU 2024 akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Tahun lalu, pemimpin seperti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke PAU 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button