Siaran langsung TikTok bongkar penemuan 21 botol disyaki air ketum
SUBANG JAYA – Gara-gara siaran langsung di TikTok oleh seorang individu akhirnya membawa kepada penemuan 21 botol berisi cecair disyaki air ketum di sebuah rumah di Kampung Sri Langkas, Puchong Permai malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.45 malam berhubung kewujudan beberapa botol berisi cecair yang dilihat ketika individu terbabit sedang membuat siaran langsung di platform berkenaan.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Puchong bergegas ke lokasi pada pukul 9 malam
“Pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Jalan Andalas Utama, Puchong.
“Ketika polis tiba, didapati tiada individu berada di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sebuah bekas plastik bertutup warna kuning yang mengandungi 21 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik serta individu yang mempunyai kaitan dengan rumah berkenaan dan barangan yang ditemukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




