JENAYAH & MAHKAMAH

Sewa rumah khas untuk rebus ketum, lelaki dicekup PGA

PASIR MAS – Taktik seorang lelaki menyewa sebuah rumah semata-mata untuk dijadikan lokasi memproses dan menjual air ketum terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di Gual Periok, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11.30 malam itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 100 bungkus air ketum berisi satu liter setiap satu serta pelbagai peralatan memproses ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,430.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 40 tahun dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan daun ketum diperoleh daripada seorang lelaki dikenali sebagai Man sebelum diproses menggunakan dua periuk besar.

“Daun ketum itu direbus menggunakan dua periuk besar yang mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus air ketum.

“Suspek sebenarnya tinggal di rumah mentuanya di Kampung Repek, namun menyewa rumah tersebut khas untuk menjalankan kegiatan memproses air ketum,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, kesemua air ketum yang siap diproses disimpan di dalam peti sejuk beku sebelum dijual pada harga RM10 sebungkus.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button