BERITA SEMASA

Buaya sepanjang 4.15 meter tewas di Sungai Rajang, pemburuan ‘si besar’ diteruskan

SIBU – Seekor buaya sepanjang 4.15 meter (m) dengan berat lebih 400 kilogram (kg) berjaya ditangkap di Sungai Rajang berhampiran Stabau-Salim, di sini pagi tadi, namun pemburuan belum berakhir apabila seekor lagi reptilia dipercayai lebih besar masih bebas di kawasan berkenaan.

Pemburu buaya berlesen, Jeffery Siew berkata, reptilia berkenaan ditangkap kira-kira pukul 10 pagi oleh pasukannya yang terdiri daripada empat anggota menggunakan mata kail berumpan.

Menurutnya, operasi menjejaki buaya terbabit sudah dijalankan sejak September lalu sebelum usaha itu membuahkan hasil hari ini.

“Kami sudah memburu buaya ini sejak September dan akhirnya berjaya menangkapnya pagi tadi menggunakan mata kail berumpan. Bagaimanapun, operasi belum berakhir kerana kami masih menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai lebih besar,” katanya memetik laporan Bernama.

Siew berkata, tangkapan itu dilakukan kurang 24 jam selepas pasukannya menamatkan operasi selama beberapa hari di Sungai Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw, Igan.

“Kami memang keletihan selepas pulang dari Igan semalam, tetapi nasib baik operasi hari ini hanya di Sibu,” katanya.

Beliau berkata pasukannya sebelum ini turut menangkap seekor buaya sepanjang 4.76m di kawasan Stabau-Salim pada 14 September lalu.

Dalam operasi di Sungai Batang Igan yang bermula Sabtu lalu pula, tiga ekor buaya termasuk seekor sepanjang 4.75m yang dianggarkan seberat 500kg semalam.

Selain itu, pasukan berkenaan turut menemukan sebuah sarang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya ketika menjalankan operasi di kawasan Igan.

Siew, yang memperoleh lesen memburu reptilia berkenaan dua tahun lalu, setakat ini sudah berjaya menangkap lebih 100 ekor buaya dalam operasi memburu yang dijalankannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button