Jerebu: Sekolah di Lubok Antu, Kanowit ditutup sementara
KUCHING – Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan PPD Kanowit ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bacaan terkini IPU yang direkodkan setakat pukul 9 pagi hari ini.
Susulan penutupan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.
“Tindakan berkenaan selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 8 Tahun 2016 mengenai Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016,” katanya dalam kenyataan.
Bagi sekolah yang berada berhampiran daerah dengan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan murid.
JPN Sarawak memaklumkan, sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada paras bawah 200, guru besar dan pengetua boleh mengambil tindakan bagi membuat persediaan pembukaan semula sekolah.
“Pihak sekolah diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Rujuk kepada Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai Langkah-Langkah KPM Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid di Sekolah-Sekolah yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019,” katanya.
Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan pelaksanaan aktiviti luar institusi pendidikan ketika cuaca panas seperti yang terkandung dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023 bertarikh 6 Jun 2023.
Institusi pendidikan turut perlu mengikuti perkembangan semasa dengan merujuk Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing.
Pada masa sama, institusi pendidikan hendaklah mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
“JPN Sarawak amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








